Islam tidak mungkin maju hanya melalui syarahan dan khutbah semata-mata...

Hubungkait Islam, politik dan kenegaraan sentiasa menjadi bahan perbincangan sejak berkurun lamanya dan tetap relevan dalam perkembangan tamadun manusia. Malah akhir-akhir ini, ia menjadi perdebatan di kalangan pelbagai pihak dengan asas-asas kepercayaan masing-masing sehinggakan ada yang lupa kepada perkara pokok yang menjadi paksi dalam Islam.

Syariat Islam bukanlah hanya satu dakwah agama yang mengutamakan akhlak dan tatacara hubungan antara insan dengan Tuhan serta sesama insan bahkan menitikberatkan urusan kehidupan praktikal seperti hal-hal pentadbiran negara dan pemerintahan.

Islam adalah agama yang menganjurkan pembangunan dalam konteksnya yang holistik atau menyeluruh serta seimbang iaitu merangkumi yang bersifat material dan kerohanian.

Pendekatan ini mempunyai ciri-ciri penting seperti keilmuan, keadilan sosial, permuafakatan, ketelusan, ketahanan dan jati diri serta melaksanakan program mengikut keutamaan.

Matlamat Sebuah Negara Islam

Gabungan pembangunan fizikal dan kerohanian ini adalah tuntutan agama Islam yang menganjurkan umatnya mencari kebaikan untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Bagi mencapai matlamat ini kualiti umat Islam perlu dipertingkatkan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang penuh dengan pelbagai cabaran.

Umat Islam sedang berdepan dengan persoalan ‘survival of the ummah’ yang melanda sama ada dari segi ekonomi, sosial dan keselamatan. Arus globalisasi yang terus melanda mencabar umat Islam sama ada mampu menguasai pelbagai bidang atau setidak-tidaknya bersaing di pentas dunia.

Dalam persaingan yang begitu kompetatif dan sengit, di manakah pencapaian umat Islam? Sedangkan Islam mengajar umatnya melalui maksud hadis;

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.”

Sebenarnya tunjang kepada kemajuan dalam pelbagai bidang itu perlu berteraskan kepada penguasaan ilmu. Maka umat Islam perlu didedahkan kepada pelbagai disiplin ilmu termasuk matematik, sains dan teknologi, ekonomi dan akhir-akhir ini teknologi maklumat.

Penguasaan ilmu ini melahirkan cerdik pandai Islam yang menyumbang kepada pembentukan tamadun yang memberi manfaat kepada umat manusia seluruhnya. Ketinggian ilmu sesuatu bangsa atau umat itu akan menjadi penentu kepada pembinaan tamadun bangsa itu sendiri. Persediaan ini jelas diperintahkan Allah yang bermaksud; “Dan hendaklah kamu persiapkan semampumu akan kekuatan.”

Tetapi masyarakat Islam tidak mungkin boleh maju hanya melalui syarahan dan khutbah semata-mata. Apa yang harus dibentuk terlebih dahulu adalah satu negara dan pemerintahan yang mencanai dan membangunkan umat sebagaimana yang dicita-citakan. Maka, pemerintahan dan negara itulah yang bakal mengawasi dan menjaga keselamatan rakyatnya daripada dicabuli musuh.

Ia sejajar dengan fungsi kepimpinan seperti yang dituntut oleh Al-Quran dan Sunnah supaya menentukan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Tugas dan tanggungjawab itu adalah secara langsung menyentuh aspek penjagaan agama Islam dan penjagaan kepentingan rakyat. Allah telah mengamanahkan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mengurus dan mentadbirnya dengan penuh bijaksana dan hikmah.

Pemerintahan Islam bukan berasaskan kefahaman kedaerahan yang sempit atau chauvinisme yang menyempitkan dirinya dengan batasan kaum, puak atau kelompok. Tetapi ia berteraskan konsep meluas dan bercambah sehingga boleh menjadi bentuk negara yang universal dengan merangkumi pelbagai keturunan dan pegangan agama.

Yang lebih penting, suasana aman damai dan terkawal boleh menjamin setiap insan Muslim menunaikan ibadah serta hidup sesuai dengan tuntutan akidah manakala segala urusan kenegaraan dan dakwah disebarkan dengan berkesan.

Seperti firman Allah yang bermaksud;

“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah dan contoh tauladan yang baik.”

Cabaran Umat Islam

Inilah yang ditakuti musuh-musuh Islam kerana bimbang ia dapat memikat lebih ramai manusia menyakini kebaikannya sekaligus membolehkan tamadun Islam terus berkembang. Sebab itulah akhir-akhir ini tekanan terhadap umat Islam semakin meningkat di serata dunia sehinggakan umat Islam dilabelkan sebagai ganas.

Maka umat Islam diburu dan kuasa besar seolah-olah mahu menghalalkan segala tindakan mereka menekan, menghina dan menindas umat Islam.

Di mana silapnya? Mengapa umat Islam dihina begitu sekali? Kita sebagai umat Islam seharusnya bersikap rasional dalam meneliti isu-isu menyelubungi umat Islam di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara sendiri. Kadangkala umat Islam sendiri bertindak di luar batas-batas yang ditetapkan oleh agama sehingga memberi peluang kepada pihak lain menggunakan kelemahan itu sebagai alasan untuk bertindak.

Sudah ada tanda-tanda di negara ini kelompok umat Islam sendiri memiliki dan mengamalkan sikap yang melampau. Kalau dahulu ia bermula dengan perbuatan mencerca, menghina dan memaki hamun kini ia semakin melampaui batas hingga menggunakan pendekatan ala militan.

Perbuatan ini perlu dibatasi oleh kerajaan sejajar tanggungjawabnya memastikan keamanan dan melindungi keselamatan rakyat. Sebab itu Malaysia tetap memerlukan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sering dicabar kewujudannya walhal ia mempunyai kepentingan umum iaitu untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan negara.

Selain itu, soal ketinggian akhlak amat ditekankan sebagai mekanisma pengawalan terhadap tingkah laku manusia. Nilai-nilai ini adalah sumber kekuatan sesuatu tamadun.

Keruntuhan sesuatu tamadun adalah disebabkan kegagalan umatnya mempertahankan akhlak dan perpaduan. Sejarah dunia Islam sudah banyak mengajar kita, tamadun Islam berada di puncak ketika dunia melangkah ke alaf yang lalu tetapi merosot ke tahap terendah apabila tiba ke penghujungnya.